Click me! Click me!

Tuesday, August 9, 2011

Batasan Mata



Pandangan Antara Gender
Pada dasarnya lelaki dan wanita adalah anggota masyarakat yang mempunyai hak sama untuk menjalani hidup dengan bebas dan merdeka dalam masyarakat Islam. Wanita mengikut padangan Islam memiliki hak sosial sama dengan lelaki tanpa diskirminasi satu jenis atas jenis yang lain. Islam tidaklah melihat pada diri lelaki muslim dengan pandangan yang melampau sehingga seolah-olah pemangsa yang harus dijauhi dan tidak dipercayai langsung oleh wanita. Dan tidak juga melihat pada diri wanita sebagai makhluk ganjil yang mana segala gerak-gerinya keji, membawa fitnah dan menganggu kesucian diri seorang lelaki. Namun semua ahli ilmu samada golongan syarak, undang-undang, pendidikan dan sosial bersetuju bahawa hubungan bebas tanpa batas antara gender akan memberi kesan negetif kepada pembangunan masyarakat dan menyebabkan keluhuran nilai yang dijunjung oleh sesebuah masyarakat seperti perkahwinan, kekeluargaan dan sebagainya menjadi porak peranda.
Konsep dasar ini akan memberi kesan langsung dalam kita memahami hukum Islam mengenai batas “pandangan” antara lelaki dan wanita asing (yang halal nikah) iaitu dari segi sejauh mana Islam mengizinkan lelaki memandang wanita atau sebaliknya wanita memandang lelaki?. Dualisme sistem berdasarkan gender Dalam masyarakat kita samada tradisi atau moden pemisahan total tidak berlaku dalam apa jua bidang atau sektor kehidupan. Sistem ko-operasi kehidupan dapat dilihat dengan jelas antara lelaki dan wanita berlaku dimana-mana sahaja seperti disekolah, diuniversiti, dipasar, dikilang, di pejabat kerajaan dan swasta, di stesen bas dan hatta di masjid. Dualisme sistem secara total berdasarkan gender jarang berlaku dalam sejarah Islam samada pada masa silam atau morden. Kita dapati ditempat-tempat tersebut lelaki menjadi bos dan wanita menjadi pembantu, lelaki menjual, wanita membeli dan begitu juga sebaliknya.. Dalam keadaan ini pandang memandang pasti akan berlaku.

 Empat dasar utama mempengaruhi cara penentuan hukum dalam masalah ini: 

Yang pertama: Al Quran
Nas al Quran yang menyuruh supaya “memaling pandangan” dalam surah an Nur(ayat 30). Maksud syarak daripada suruhan tersebut ialah untuk memelihara kesucian dan kemuliaan diri. Ayat tersebut memberi makna wajib. Yakni wajib merendahkan pandangan atau memalingkan wajah, tanpa menentukan perkara-perkara yang haram dipandang untuk memberi makna Itlak atau syuyuk. Iaitu pengharaman tertakluk kepada setiap yang membawa fitnah dan mencarikkan kesucian tidak secara syumul. Dalam Sahih Bukhari:( berkata Said bi Abi al Hasan kepada al Hasan; sesungguhnya wanita ajam(bukan arab) mendedahkan dada dan kepala mereka, maka jagalah pandangan kamu).

 Yang Kedua: Hadis
Di antara hadis Nabi s.a.w yang diberkaitan dengan persoalan ini ialah hadis yang dikeluarkan oleh at Turmuzi yang antara lain menyebutkan sabda Rasulullah s.a.w kepada Ali:  “Wahai Ali elakkan pandangan kedua, kalau ia harus bagi kamu pada kali pertama, dia tidak lagi harus bagi kamu untuk kali kedua“. Dan hadis Baihaqi daripada Abu Hurairah r.a. sabda Rasulullah s.a.w: Ditulis keatas anak Adam bahagian dia daripada zina yang tidak mungkin dielakkan, mata zinanya pandangan, telinga zinanya mendengar, lidah zinanya cakap….hingga akhir hadis. Hadis-hadis ini menunjukkan kewajiban menjaga pandangan daripada melihat perkara yang boleh membawa fitnah.  Ini mengheret kita kepada persoalan berkaitan aurat wanita kerana yang jelas haram itu ialah melihat bahagian anggota yang haram iaitu aurat. Ini berlainan jika pandangan itu jatuh pada bahagian yang bukan aurat.

Yang ketiga: Batasan Aurat
Aurat wanita: Jumhur ulama’ mengatakan seluruh tubuh wanita adalah aurat yang perlu ditutup kecuali perhiasan yang zahir seperti yang disebut dalam surah an Nur ayat 31 yang bermaksud: “Dan jangan mereka nampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang zahir daripadanya”. Ulama’ berselisih dalam mentafsir skop pengecualian tersebut. Pendapat yang kuat yang diwakili oleh jumhor ulama’ mengatakan ia adalah muka, tangan dan pakaian. Ini bermakna muka, tangan dan pakaian merupakan bahagian yang pada adatnya kelihatan dan tidak tertakluk kepada arahan supaya disembunyikan.

Yang keempat: Kaedah Saddu az Zarie’ ah
Saddu az Zarie’ ah iaitu tujuan menutup pintu fitnah. Saddu az zarie’ah adalah satu qaedah yang dirujuk oleh ulama’ dalam penentuan hukum terutama dalam kes-kes yang berkaitan dengan maruah dan harga diri. Pandangan merupakan pintu kepada hati. Sebagaimana yang dijelaskan oleh hadis Ali diatas, kalau sesaorang dimaafkan pada pandangan pertama, pandangan kedua tidak lagi dibenarkan kerana ia digerakkan oleh syahwat dan boleh menjejaskan kesejahteraan hati. Kebimbangan ini ditakuti berlaku kepada Ali seorang sahabat nabi, ia lagi-lagi boleh berlaku dizaman ini dimana manusia mengalami bebagai jenis penyakit jiwa atau kelemahan hati.

 Kesimpulan. 

 A.Pandangan lelaki kepada wanita asing (yang halal nikah).- Khas untuk suami ku

 Daripada pandangan umum Islam terhadap hubungan lelaki dan wanita dan kaedah-kaedah asas yang mendasari cara pengeluaran hukum dalam masalah “pandangan” lelaki dan wanita “ajnabi” kita dapat membuat kesimpulan seperti berikut:
  •  Tidak harus melihat atau memandang bahagian aurat wanita (selain dari muka, tangan dan kaki disisi kebanyakan ulama’) samada dengan shahwat atau tidak.
  • Bagi bahagian yang bukan aurat seperti melihat wajah dan tangan wanita ajnabi (yang halal nikah) hukumnya harus jika tidak dengan syahwat dan menimbulkan fitnah. Walaupun yang lebih afdhal ialah menyerongkan pandangan.
  •  Jika pandangan melibatkan bahagian aurat hukumnya harus jika kerana hajat atau dhorurah.
Keadaan-keadaan yang dikecualikan kerana keperluan atau dhorurah:
  • Pandangan saksi untuk mengenalpasti orang yang didakwa
  • Pandangan kerana keperluan muamalat seperti jual beli dan sebagainya
  • Pandangan kerana merawat penyakit
  • Pandangan kerana tujuan mahu mengahwininya
  • Pandangan kepada wanita tua dan kanak-kanak
B.Pandangan wanita kepada lelaki ajnabi(halal nikah)- khas untuk diriku
Pandangan wanita kepada lelaki ajnabi sama dengan pandangan lelaki kepada lelaki. Yakni harus bagi wanita melihat bahagian yang bukan auratnya iaitu barang antara pusat dan lutut dengan syarat tidak dibimbangi fitnah. Jika dibimbangi fitnah maka hukumnya haram.

Peringatan penting.
Ruang kelonggaran yang dinyatakan diatas hanya sesuai dilaksanakan dalam masyarakat yang iltizam dengan hukum Islam. Dalam situasi hari ini kebanyakan wanita tidak menutup aurat atau berpakaian yang mendedahkan samada dipejabat atau ditempat awam, dan lelaki yang tidak berakhlak maka sayugia bagi lelaki dan wanita Islam menjaga pandangannya dan mengambil kewaspadaan yang sewajarnya supaya ia tidak terjatuh kedalam perkara yang ditegah oleh syarak.

Sumber: harap maaf lupa link dari mana...Zzzzzz....

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...